09 October 2017

Apa itu asid lemak trans???


Asid lemak ‘trans’ terhasil daripada minyak tumbuhan yang ditambah hydrogen melalui proses ‘hidrogenasi’ untuk menjadikan ianya pepejal seperti marjerin dan mentega. Tujuan proses ini dilakukan adalah untuk menambah kestabilan makanan dan melambatkan tempoh makanan itu menjadi rosak. Malangnya proses ini menyebabkan terhasilnya asid lemak ‘trans’ ini.

Banyak kajian sains yang menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan asid lemak trans meningkatkan paras kolesterol tidak baik atau kolesterol LDL dan merendahkan paras kolesterol baik atau kolesterol HDL. Oleh kerana itu ianya juga meningkatkan risiko mendapat masalah penyakit jantung koronari, darah tinggi, stroke dan kolesterol berlebihan. Terdapat sesetengah pakar pemakanan berpendapat bahawa pengambilan asid lemak trans ini adalah lebih buruk daripada pengambilan lemak tepu terus dari sumber haiwan.


Contoh makanan yang tinggi LEMAK TRANS

Dalam zaman moden ini, penggunaan asid lemak trans ini amat berleluasa hingga hampir mustahil untuk seseorang mengelak daripada memakannya setiap hari. Hampir semua makanan proses menggunakan asid lemak trans seperti mee segera, biskut, pizza, kuih-muih, kek , pastri, kerepek, donut, kentang goreng, jajan dan sebagainya. Kebanyakan makanan-makanan ini menggunakan marjerin atau mentega.

Makanan segera seperti ‘berger’ yang dijual ditepi jalan atau direstoran makanan segerajuga mengandungi asid lemak trans yang tinggi kerana ia digoreng menggunakan marjerin atau mentega. Disamping itu ia juga menggunakan banyak perasa dan bahan pengawet. Kurangkanlah pengambilan makanan seperti ini kerana ia boleh menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi.

Untuk tidak mengambil lansung makanan yang mengandungi asid lemak trans ini adalah amat susah dan mustahil bagi kita yang hidup dizaman moden sekarang, tetapi yang lebih penting ialah mengurangkan pengambilannya ketahap yang paling minimum yang mungkin. Oleh kerana itu elakkan dan kurangkan pengambilan makanan proses semaksima yang mungkin. Makanlah lebih banyak makanan asli dan natural seperti nasi, buah-buahan, roti berserat penuh, sayur-sayuran dan protin. Kurangkan makanan bergoreng atau makanan segera yang digoreng dalam (deep fried). Lebihkanlah pengambilan makanan yang dibakar, kukus dan rebus.

Tips memilih barangan yang kurang lemak trans dan gaya hidup sihat


Bacalah pembalut plastik makanan segera yang kita beli dan telitilah pada labelnya dan perhatikan perkataan seperti ‘ hydrogenated vegetable oils’ atau ‘partially hydrogenated vegetable oils’ dan sebagainya. Ini adalah asid lemak ‘trans’ yang terkandung dalam makanan tersebut. Terdapat sesetengah pengeluar makanan telah mula menggunakan minyak yang tidak mengandungi asid lemak ‘trans’ . Jika boleh gunakanlah marjeri n yang tidak mengandungi asid lemak trans atau ‘nonhydrogenated’ yang dijual di pasaran.

Jagalah pemakanan anak-anak anda dengan tidak menggalakkan pengambilan makanan segera dan kerepek atau jajan yang mengandungi asid lemak trans ini. Sikap pemakanan yang sihat harus dipupuk sejak dari kecil demi untuk kesihatan yang lebih baik apabila telah dewasa. Galakkan anak-anak makan buah-buahan yang jauh lebih sihat sebagai ‘snek’ harian atau sewaktu bersantai bersama keluarga.



Sebagai pengguna, terdapat beberapa langkah mudah untuk mengurangkan nafsu pengambilan lemak trans.

1 - Pilih produk yang bebas lemak trans. Ini termasuklah produk yang menyenaraikan “minyak separa hidrogenasi” di dalam ramuannya kerana “minyak separa hidrogenasi” adalah nama lain bagi lemak trans.
2 - Pilih produk rendah lemak tepu dan rendah kolestrol, sebaik-baiknya kurang daripada 5% peruntukan harian. Lebih rendah nilai ini, lebih rendah kemungkinan pengambilan lemak trans.
3- Penggunaan lemak monotaktepu (minyak zaitun, minyak canola) atau lemak politaktepu (minyak bunga matahari, minyak jagung) sekiranya resipi memerlukan lemak.
4 - Jangan menggunakan minyak masak lebih lagi sekali.
5 - Elakkan makanan yang mungkin mengandungi lemak trans, terutamanya kini ketika pemakluman kandungan lemak trans belum diimplementasi. Sebagai panduan am, elakkan makanan yang mengandungi marjerin, pastri atau biskut, makanan segera (kentang goreng, ayam goreng dan burger) makanan sejuk beku (pizza beku, nugget beku, pau).
6 - Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, gandum dan daging/daging ayam yang dibuang kulit dan lemak.
Reactions:
Powered by Blogger.

Popular Posts