14 May 2014

SETAKAT ini saintis telah mengenal pasti terdapat lebih daripada 200 jenis nutrien dalam bentuk vitamin, mineral, asid lemak, asid amino, hormon, agen anti keradangan dan pelbagai bahan lain.

Semua nutrien tersebut direka dan ditetapkan oleh ALLAH SWT agar dapat memenuhi keperluan tumbesaran dan perkembangan fisiologi bayi.

Kesan nilai nutrien susu ibu kepada tumbesaran bayi sudah biasa dibincangkan di mana-mana sahaja. Jadi, pada bahagian awal artikel ini penulis akan bincangkan bagaimana ubat-ubatan yang dimakan oleh ibu yang menyusukan bayi dapat mempengaruhi fisiologi bayi.

Bahagian selebihnya penulis tumpukan perbincangan dengan membawakan contoh kajian makanan yang dimakan ketika ibu mengandung dan ketika menyusukan bayi berupaya mempengaruhi kecenderungan bayi menggemari makanan yang memiliki perisa yang serupa.

American Academy of Pediatrics (AAP) menyediakan kenyataan berbentuk bimbingan berkaitan ubat-ubatan dan bahan kimia yang dikenal pasti terdapat dalam susu ibu. Punca utama bahan tersebut ialah akibat pengambilan ubat-ubatan, menghisap rokok dan minum arak.


selera anak-anak shaklee


Khasiat herba


Kenyataan badan tersebut yang berjudul The Transfer of Drugs and Other Chemicals Into Human Milk memberi penekanan terhadap tiga jenis bahan iaitu nikotin, ubat-ubatan psikotropik dan pembedahan kecantikan menggunakan silikon.

Ubat-ubatan psikotropik yang juga dikenali sebagai ubat-ubatan psikoaktif (atau psikofarmasiutikal) merujuk kepada bahan kimia yang berupaya melintasi halangan darah-otak (blood brain barrier) dan bertindak ke atas sistem saraf pusat (otak).

Pengambilan ubatan-ubatan jenis ini menyebabkan perubahan dalam persepsi, mood (suasana hati), kesedaran, kognisi (proses pembelajaran) dan perangai.

Menurut catatan kaki kenyataan AAP tersebut ubat-ubatan psikotropik terutama kategori antikeresahan (anti-anxiety), antikemurungan dan antipsikotik seharusnya diberi perhatian serius jika ia diambil secara berterusan oleh ibu yang menyusukan bayi/anak secara jangka panjang.

Ini kerana sungguhpun hanya terdapat beberapa laporan pada jumlah kecil berhubung kesan sampingan buruk berlaku kepada bayi yang menyusu, ubat-ubatan tersebut telah dikesan dalam susu manusia di mana ia dipercayai berupaya mengubah fungsi otak secara jangka pendek dan jangka panjang.

Adakah terdapat alternatif bagi menggantikan ubat-ubatan tersebut? Sudah tentu ada. Herba seperti pegaga, kulit limau susu (buah markisa) dan selasih (daun dan minyak esen) apabila digunakan dengan teratur mampu meredakan keresahan dan kemurungan. Ia juga dipercayai mampu meredakan sesetengah kes tekanan berkaitan penyakit psikotik.

Pokok semalu (cabut dengan akarnya) ditumbuk separuh lumat dan direndam dengan air panas dipercayai meredakan keresahan dan kemurungan. Vitamin B kompleks dan minyak hati ikan kod yang diambil bersama herba tersebut amat membantu.

Kesan sampingan herba tersebut? Manfaat pengambilan herba tersebut ialah membantu ibu dan bayi tidur lebih lena (dengan itu dapat mengatasi insomnia), penghadaman menjadi harmoni, meredakan angin dalam perut dan mood (suasana hati) menjadi lebih damai.

Kemungkinan kesan sampingan ialah najis yang lembut atau sesekali mengalami diarea. Ia dapat diatasi dengan memberhentikan pengambilan herba-herba tersebut selama beberapa hari.

Herba seperti chrysanthemum (bunga kekwa, bukan air bunga kotak) dan chamomile juga memiliki sifat terapeutik yang serupa dengan herba tersebut. Jika pengambilan herba tersebut menyebabkan mengantuk keterlaluan, herba perangsang sistem saraf seperti cengkih atau kayu manis perlu ditambah pada kuantiti kecil.

Berikut pula ialah kajian yang menguji hipotesis iaitu pengalaman bayi merasai perisa yang terdapat dalam cecair amnion (amniotic fluid) atau susu ibu berupaya mengubah penerimaan dan kegemarannya terhadap makanan dengan perisa serupa ketika dalam proses berhenti menyusu.

Aroma makanan

Kajian berjudul Prenatal and Postnatal Flavor Learning by Human Infants tersebut telah dijalankan oleh Julie A Mennella, PhD dan dilaporkan dalam jurnal Pedriatrics pada 2001.  

Dalam kajian yang dijalankan, Dr Mennella meminta 46 wanita mengandung mengambil satu daripada jenis makanan berikut iaitu minum jus karot ketika mengandung dan berhenti sebaik-baik sahaja melahirkan bayi, minum air biasa ketika mengandung dan mula minum jus karot apabila bayi dilahirkan dan hanya minum air biasa ketika mengandung dan setelah bayi dilahirkan. Pengambilan bahan tersebut dilakukan setiap hari.

Pengambilan jus karot ketika mengandung sahaja membantu penyelidik menguji kesan cecair amnion berperisa. Pengambilan jus karot bermula sebaik-baik sahaja bayi dilahirkan pula membantu penyelidik menguji kesan pengambilan susu ibu yang mempunyai perisa karot.

Selepas lebih lima bulan bayi dilahirkan iaitu ketika bayi mula makan emping atau makanan kental, penyelidik kajian menguji perisa yang digemari bayi.

Mereka memberi dua jenis emping iaitu yang biasa dan berperisa karot. Ujian mendapati bayi yang terdedah kepada cecair amnion berperisa karot ketika berada dalam rahim menggemari emping berperisa karot.

Apabila dibandingkan dengan tindak balas mereka terhadap emping biasa, bayi yang terdedah kepada cecair amnion berperisa karot ketika dalam kandungan didapati kurang menunjukkan ekspresi wajah negatif ketika mereka makan emping berperisa karot.

Keputusan yang serupa diperhatikan berlaku kepada bayi yang terdedah kepada susu ibu berperisa karot.

Ujian mendapati tiada kesan langsung diperhatikan pada bayi di mana ibu mereka tidak mengambil jus karot sama ada ketika mengandung dan ketika menyusukan bayi.

Kajian mendapati bukan sahaja perisa malah aroma makanan yang dimakan oleh ibu mengandung dapat dikesan oleh bayi melalui cecair amnion.

Dr Julie Mennella berkata, semakin banyak si ibu mempelbagaikan makanan ketika mengandung dan ketika menyusukan anak maka semakin mudah bayi untuk menerima makanan yang diperkenalkan kepada mereka.

Beliau yang bertugas sebagai ahli biopsikologi di Monell Chemical Senses Center, Philadelphia juga berkata beberapa kajian mendapati bayi yang menyusu daripada payudara ibunya lebih mudah untuk menikmati makanan baru yang diperkenalkan berbanding dengan bayi yang menyusu botol.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan ibu mengandung yang kerap makan makanan merapu dan minum arak membentuk kecenderungan bayi yang menggemari makanan merapu dan menjadi kaki botol pada masa hadapan.


Jadi, secara umum bayi boleh dilatih untuk menggemari makanan tertentu termasuk makanan yang berasa pedas, pahit, masam, manis dan makanan dengan rasa asas yang lain sejak dalam kandungan dan ketika proses penyusuan.

Sumber: Sinar Harian
Reactions:
Powered by Blogger.

Popular Posts