24 March 2014



Paracetamol, risiko kegagalan hati?




PADA label bungkusan pil yang penulis singkatkan jenamanya kepada P ini tercatat perkataan paracetamol.

Ubat yang terkenal di 85 negara ini, menguasai lebih daripada 80 peratus pasaran tempatan bagi kategori ubatan yang sama biasa digunakan sebagai analghesik iaitu untuk meredakan sakit kepala, sakit gigi, sengal tubuh dan batuk. Ia juga bersifat antipiretik iaitu membantu menurunkan suhu badan seperti yang dialami mereka yang demam.

Di Amerika Syarikat, paracetamol dikenali sebagai acetaminophen. Begitu juga di Jepun. Nama bahan kimia asal bagi kedua-dua paracetamol dan acetaminophen ialah N-acetyl-p-aminophenol.

Singkatan APAP digunakan pada sesetengah label ubatan yang mengandungi paracetamol atau acetaminophen.

Dalam keseluruhan artikel ini penulis akan berbicara mengenai kemudaratan paracetamol. Untuk pengetahuan pembaca, penulis akan menggunakan istilah paracetamol dan acetaminophen secara bertukar ganti pada bahagian-bahagian tertentu ikut kesesuaian.


500 mati setiap tahun 


Di Amerika Syarikat, pada dekad yang lalu dikatakan telah berlaku 1,500 kematian dikatakan berpunca daripada mengambil terlalu banyak acetaminophen.

Di sana, 56 ribu orang dikatakan dikejarkan pusat rawatan kecemasan setiap tahun berpunca daripada keracunan acetaminophen. Lebih kurang 500 orang daripada jumlah tersebut pula dikatakan meninggal dunia akibat mengalami kegagalan hati.

Tylenol merupakan jenama utama di Amerika Syarikat yang menggunakan acetaminophen sebagai bahan aktif. Jenama ini tidak dijual di negara ini.

Berdasarkan semakan penulis di laman sawang www.tylenol.com, produk jenama Tylenol mengandungi acetaminophen sebagai bahan aktif masing-masing dalam julat berat 325 650 miligram.

FDA (Food and Drugs Administration) mengenai acetaminophen menyatakan dos acetaminophen melebihi 325 miligram akan menyebabkan kerosakan hati.

Ia seperti dilaporkan oleh CNN pada Januari 16, 2013 dalam artikel berjudul FDA: Acetaminophen doses over 325 mg might lead to liver damage.

FDA mengarahkan golongan doktor di Amerika Syarikat agar tidak mempreskripsikan ubat campuran yang mengandungi acetaminophen melebihi 325 miligram iaitu bahan yang biasa digandingkan dengan opioid.

Opioid ialah sebarang bahan kimia yang menyerupai opium atau opiate lain (derivatif opium) dari segi kesan farmakologi.

Ubat campuran ialah ubat yang mengandungi dua atau lebih bahan aktif. Contohnya acetaminophen digabungkan dalam rumusan ubatan meredakan rasa sakit dengan opioid seperti oxycodone (jenama Percocet), hydrocodone (jenama Vicodin) dan codeine (jenama Tylenol with Codeine.

Pada January 13, 2011, FDA mengarahkan pengeluar ubat campuran yang mengandungi acetaminophen agar mengehadkan kandungan bahan aktif ini kepada 325 miligram sahaja.

Namun sehingga kini terdapat separuh pengeluar masih menambah acetaminophen melebihi had yang dibenarkan.

Bagaimanapun Tylenol iaitu ubat yang hanya mengandungi acetaminophen sebagai bahan aktif terkecuali daripada arahan mengehadkan kandungan acetaminophen.

Di Malaysia, pil jenama P iaitu ubat merawat rasa sakit dan demam yang biasa diambil penduduk di sini pula mengandungi 500 miligram masing-masing untuk jenama biasa dan jenama yang dua kali ganda mudah diserap tubuh.

Sebelum menulis artikel ini penulis telah membeli sepapan ubat jenama P ini. Di belakang bungkusan tertera beberapa baris tulisan termasuk 12 tahun dewasa. (Ambil) 2 kaplet setiap 4 atau enam jam bila perlu.

Maksimum 8 kaplet sepanjang tempoh 24 jam. Setiap kaplet mengandungi 500 miligram paracetamol dan 173 miligram natrium.




Tiada sebarang peringatan dan amaran ditulis pada bungkusan mungkin kerana ruang terhad. Peringatan dan Amaran boleh didapati di laman sesawang Panadol di https://www.panadol.com/me/products/panadol-actifast.html.

Antara isi senarai peringatan dan amaran tersebut berbunyi begini (maksudnya): Jika anda mengalami masalah hati dan buah pinggang sila berbincang dengan doktor sebelum mengambil Panadol (produk yang dimaksudkan).

Pengambilan Panadol secara berlebihan boleh menyebabkan kegagalan hati. Intervensi perubatan diperlukan sekiranya berlaku pengambilan berlebihan sungguhpun simptom akibat pengambilan secara berlebihan tidak dapat dikesan.

Di Malaysia, jika seseorang mengalami simptom ketoksikan paracetamol mungkin ia dianggap sebagai penyakit biasa dan mungkin didiagnosis dengan keputusan punca tidak diketahui.

Tidak diketahui pula jika sebab susah untuk bersoal jawab dengan orang atas dan mungkin mempengaruhi prestasi karier adalah punca mengapa setiap masalah melibatkan kes ketoksikan ubatan (jika terdapat aduan) seperti paracetamol tidak dihebahkan.

Alangkah baiknya jika kementerian Kesihatan bersikap terbuka sebagaimana FDA yang mempunyai laman sawang cukup teratur serta mendedahkan jumlah aduan pengguna/pesakit berkaitan kesan pengambilan ubatan tertentu.


Mentaliti perlu berubah




Tahap kesedaran sebahagian besar penduduk negara ini mengenai bahaya sesuatu jenis ubatan moden boleh dikatakan amat rendah. Sebahagian besar tidak pernah tahu atau ingin mengambil tahu kandungan bahan kimia dalam setiap ubatan yang dipreskripsi doktor apatah lagi kesan sampingan yang mungkin dialami.

Tanya diri anda berapa ramai doktor yang memberitahu kesan sampingan setiap jenis ubatan yang mereka preskripsi secara telus?

Had maksimum pengambilan acetaminophen yang dibenarkan oleh FDA ialah 4,000 miligram sehari. Dan ini besar kemungkinan juga had maksima yang dibenarkan kementerian Kesihatan negara ini.

Ia adalah deduksi (kesimpulan) penulis berdasarkan had maksimum yang dicadangkan Glaxo Smith Kline pada label di belakang bungkusan Panadol Actifast iaitu tidak melebihi 8 tablet (setiap kaplet mengandungi 500 miligram paracetamol) bagi setiap 24 jam.

Tanda-tanda ketoksikan hati berpunca daripada pengambilan paracetamol secara berlebihan ialah ialah loya, muntah, berpeluh dan kesakitan selepas beberapa jam pengambilannya. Ia dikatakan tidak menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri.

Jika tidak dirawat dengan segera ia akan menyebabkan kematian dalam tempoh 3-5 hari.

Ingatlah pengambilan dos secara berlebihan yang biasa dimaksudkan oleh golongan perubatan moden ialah mengambil ubat melebihi sukatan yang dicadangkan untuk tempoh tertentu.

Pada pandangan pakar perubatan alternatif yang berilmu pula, kekerapan mengambil ubatan moden walau pun benar-benar menuruti dos yang dicadangkan boleh menyebabkan kemudaratan termasuk ketoksikan pada sesetengah individu!

Penulis percaya ketoksikan hati boleh berlaku hasil pengambilan paracetamol walau ia hanya sebagai bahan aktif secara bersendirian seperti dalam pil/kaplet P.

Mengapa? Setiap orang memiliki kecekapan detoksifikasi yang unik dan ditambah dengan pelbagai faktor yang dipercayai mengganggu/melemahkan kecekapan tubuh dalam detoksifikasi sesuatu bahan.

Ada masalah lain timbul akibat pengambilan paracetamol secara berlebihan? Ya, ada iaitu kegagalan buah pinggang dan pelbagai masalah kulit.

OLEH: DR. BAHRAIN SAMAH  
sumber: SINAR HARIAN
Reactions:
Powered by Blogger.

Popular Posts